Saturday, May 7, 2016

Kisah Tok Ketua Menengok Gusti - Bahagian 1

Kampung Rumpun, sebuah penempatan desa yang terletak agak dalam daripada jalan utama. Orangnya diam-diam, tak banyak berbuat curang. Jalan raya siangnya segan, malamnya tak mahu. Ada dua kedai runcit, satu masjid, satu balai raya buat menyambut YB, satu sekolah rendah dan satu kuburan. Yang lelaki, ke masjid sehari lima kali. Yang perempuan, bertukar rumah anjur yasinan. Semuanya orang tua. Anak muda macam biasa, habis sekolah menebas jalan ke kota. Adalah tak sampai dua puluh belia tak keluar, duduk kampung menyambung kudrat orang tuanya. Kebun yang lain-lain, diwariskan kerja pada Lombok, Nepal dan Rohingya. Lepas Isyak, Kampung Rumpun mula pejamkan mata dalam sejuknya malam. 

Mata Haji Hamid tiba-tiba celik dengan terpekik ayam belakang rumah. Dikuisnya selimut ketepi lalu duduk dengan dahi berkerut. Akhirnya dia malas hendak ingat semula cerita apa dalam mimpi sekejap tadi. Digaru pipi, perut, dan dada. Macam biasa, Hajah Hasnah awal-awal dah lesap dari katil pergi jerang air. Haji Hamid terus bangun capai tuala menapak ke bilik mandi. Satu jirus, bukan main tajam sejuk dia. Tapi Haji Hamid dah biasa walaupun dia bukanlah gemuk sangat. Selesai siap, macam biasa Haji Hamid terus merempit ke masjid lagi dua puluh minit nak masuk Subuh. Sebagai Tok Ketua, masjid adalah pejabat untuk dia buat kerja kepala kampung. Senang nak cari orang dan dicari orang.

Imam Mahat bagi kuliah subuh haritu. Haji Hamid angguk-angguk geleng-geleng setuju dengan Pak Imam. Selesai kuliah dalam tujuh setengah, semua mula sarung selipar. Imam pegang bahu kiri Haji Hamid dengan tangan kanan. 

"Tok. Semalam lepas Isyak ada orang putih datang masjid," sapa Pak Imam.

"Orang putih?" Haji Hamid buat double confirmation.

"Ye tok, orang putih mat saleh. Lelaki, badan berketul. Tu ha dekat sana dia duduk dari semalam," 

Imam tuding ke belakang masjid. Nampak dari celah pintu, ada orang tengah baring berbantal beg galas. Badan besar serupa anak gergasi. Haji Hamid fikir, tak pernah lagi dia nampak orang putih melainkan anak Sulaiman Askar yang albino tu. Jemaah yang dengar perbualan Imam dan Tok Ketua mula cabut selipar. Pak Sahak yang dah atas motor pun turun balik naik atas masjid. Semuanya ramai-ramai pergi ke belakang sambil pikir, macam mana ada orang putih boleh sesat dalam kampung ceruk yang line handphone pun takde.

Imam kejut orang putih pelan-pelan. Tebukak besar mata tengok orang tua-tua keliling dia.


Bersambung....